Hukum Syarak Bagi Golongan Khunsa

`

SOALAN:

1) Apa Maksud Khunsa Dan Mukhannath. Apakah Perbezaan Keduanya?

2) Jelaskan penentuan hukum syarak bagi golongan khunsa dalam aspek: •Solat •Perkahwinan •Pemberian harta pusaka dan •Pengurusan jenazah (sekiranya mati)

======================================================

JAWAPAN:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-25 yang bersidang pada 13 Dec 1989 telah membincangkan Kedudukan Mak Nyah Dalam Islam. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

PERTUKARAN JANTINA DARI LELAKI KEPADA PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA MELALUI PEMBEDAHAN adalah HARAM dari segi syarak, dan

Seseorang yang dilahirkan KHUNSA MUSYKIL iaitu manusia yang DILAHIRKAN MEMPUNYAI DUA ALAT KEMALUAN LELAKI DAN PEREMPUAN diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi supaya dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai.

Keterangan/Hujah:

Islam telah membahagikan kelompok jantina kepada 4 kelompok, iaitu:

1) LELAKI;
2) PEREMPUAN;
3) KHUNSA( jelas dan musykil );
4) MUKHANNAS DAN MUKHANNIS

CIRI² LELAKI:
– Keluar air kencing melalui zakar/alat kelamin lelaki ATAU mempunyai janggut.

CIRI² PEREMPUAN:
– Keluar air kencing melalui faraj/alat kelamin perempuan ATAU mengalami haid.

CIRI² KHUNSA
– Seorang manusia yang mempunyai mempunyai dua alat kelamin (zakar dan faraj) ATAU tidak ada langsung alat kelamin, yang ada hanyalah lubang sekadar untuk kencing

2 keadaan KHUNSA:

(i) KHUNSA WADIH
– Seseorang yang mempunyai dua alat kelamin (zakar dan faraj), yang mana hanya salah satu alat kelamin memang benar-benar jelas berfungsi ketika membuang air kecil.

(ii) KHUNSA MUSYKIL
– Seseorang yang tidak jelas fungsi jantinanya disebabkan 3 perkara;
a) mempunyai dua alat kelamin (zakar dan faraj) SAMA ADA;
– Kedua²nya tidak berfungsi semasa buang air kecil atau
– Kedua²nya sekali berfungsi semasa buang air kecil
b) tidak punyai langsung alat kelamin
c) tumbuh payudara dan janggut secara serentak

CIRI² MUKHANNAS DAN MUKHANNIS

Mengikut kitab Tahzib Al-Asma’ Wallughat juzuk pertama bahagian kedua, muka surat 99-100, karangan Imam Nawawi mendefinasikan:

bahawa mukhannas atau mukhannis itu ialah SEORANG LELAKI yang TINGKAH LAKUnya seperti tingkah laku perempuan sama ada dari segi gerak gerinya, keadaannya, perasaan, kesukaan, hobi dan sebagainya.

Ia boleh dibahagikan kepada 2 GOLONGAN:

1) Mereka yang hanya menerima sahaja keadaan tadi sebagai satu pemberian Allah dan membuat sebarang tindakan rangsangan untuk menyuburkan lagi keadaan tersebut. Ianya bukanlah merupakan sebagai satu kecacatan.

2) Mereka yang tidak memadai dengan keadaan tersebut, ialah bertindak dengan sesuatu yang merangsangkan lagi keadaan itu.

Mak Nyah boleh digolongkan sebagai Mukhannas atau Mukhannis. Mereka sebenarnya adalah lelaki yang dikurniakan oleh Allah dengan sifat-sifat keperempuanan.

DALIL-DALIL DARI HADIS TENTANG HARAMNYA LELAKI MENYERUPAI PEREMPUAN DAN PEREMPUAN YANG MENYERUPAI LELAKI

عن ابي هريرة عنه قال , قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لمن الله الرجل يلبس لبس المرأة والمرأة تلبس لبس الرجل – رواه أبو داود .

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah R.A katanya, sabda Rasulullah S.A.W : Allah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan memakai pakaian lelaki.
( Riwayat Abu Daud )

عن ابن عباس رضى الله عنه قال , قال رسول الله صتى الله علىه وسلم : لمن الله المتشبها ت من النسأ بالرجال والمتشبهات من الرجال بالنسأ . – رواة أبو داود

Maksudnya:
Daripada Ibnu Abas R.A katanya, sabda Rasulullah S.A.W : Allah melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.
( Riwayat Abu Daud )

عن ابن عباس رضى الله عنه قال , قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لمن الله المخنثين من الرجال والمترجلات من النسأ – رواه الترمزي

Maksud:
Daripada Ibn Abas R.A katanya, sabda Rasulullah S.A.W : Allah melaknat ke atas orang-orang lelaki yang berlagak seperti orang perempuan ( Mukhannas ) dan juga ke atas orang-orang perempuan yang berlagak seperti lelaki.
( Riwayat Tarmizi )

KEPUTUSAN PERSIDANGAN MAJLIS ULAMAK KELANTAN YANG BERSIDANG PADA 18 OKTOBER 1975

Perbuatan pembedahan keatas lelaki atau perempuan untuk ditukar anggota jantinanya adalah bertentangan dengan hukum Islam.

Orang lelaki yang tukar jantinanya adalah dipanggil majbub yang dipotong zakarnya, bukan perempuan.

Dengan ini perkahwinan mereka ini adalah tidak sah.

Lelaki atau perempuan yang tidak nyata keanggotaan lelaki atau perempuan seperti rahim dan sebagainya adalah diharuskan melakukan pertukaran jantina dan harus berkahwin dengannya.

Kemahuan perasaan jantina yang cenderung kepada orang lelaki tidak harus dijadikan alasan untuk membolehkan pembedahan dan mengharuskan perkahwinan.

Seseorang yang pada lahirnya mempunyai lubang sebagai faraj tetapi diyakinkan di dalamnya terdapat anggota zakar yang tertutup dengan daging harus dilakukan pembedahan dan harus dikahwinkan.

Bagi ibadat solat,perkahwinan,harta pusaka dan pengurusan jenazah adalah sepertimana yang telah ditetapkan dalam Islam bagi lelaki dan perempuan.

Wallahua’lam

Petikan Sumber:

1) https://www.slideshare.net/nasirhep/kecelaruan-gender-dari-perspektif-islam
2) http://kemusykilan.islam.gov.my/v2/index_jawapan.php?ids=105398&q=