Jangan Mencela Masa, Masa Itu Emas

JANGAN MENCELA MASA

“Nasib aku tak baik lah harini!”, “what an awful day this is!”, “Monday Blues”… adakah kita sedar akan bahaya melafazkan ayat-ayat ini?

Daripada Abu Hurairah radhiAllahu anhu, Rasulullah sallAllahu alaihi wasallam bersabda:

لا تسبوا الدهر فإن الله هو الدهر

“Janganlah kalian mencela masa, kerana sesungguhnya Allah itu adalah masa” [HR Muslim]

Berkata Imam Asy-Syafie, Abu Ubaidah dan selain mereka berdua rahimahumullah berkenaan tafsir hadith tersebut, dahulu orang Arab apabila mereka terkena musibah, bala dan malapetaka mereka berkata: يا خيبة الدهر iaitu lebih kurang bermaksud: “alangkah masa mengecewakan” maka mereka mengaitkan perbuatan (mengecewakan) itu kepada masa lalu memburuk-burukannya, padahal Fa’il atau Pelakunya adalah Allah ta’ala bukannya masa. Oleh itu, mereka seolah-olah mencela Allah azza wa jalla kerana Dia-lah Fa’il (Pelaku yang mencipta dan memerintahkan masa serta menguji hamba-Nya dengan musibah, bala dan malapetaka) yang sebenar. Oleh itu, seseorang itu ditegah daripada mencela masa… [Tafsir Ibn Kathir, 4/152]

Seorang Alim daripada kalangan Ulama kontemporari berkata bahawa orang yang mencela masa itu terbahagi kepada tiga kategori:

1. Kategori pertama: Dia hanya bermaksud untuk mengkhabarkan keadaan tanpa celaan. Maka ini adalah dibolehkan, contohnya apabila seseorang berkata: “kami berasa penat disebabkan kepanasan atau kesejukan hari ini.” atau apa yang serupa dengannya, kerana amalan (atau perkataan) itu berdasarkan niat dan lafaz tersebut adalah sekadar untuk mengkhabarkan keadaannya (tiada unsur-unsur mencela masa dan sebagainya).

2. Kategori kedua: Dia mencela masa dengan beriktikad bahawasanya masa itu lah pelaku (yakni, kebaikan atau keburukan yang berlaku keatas dirinya adalah disebabkan masa): maka ini adalah Syirik besar kerana dia beriktikad bahawa adanya Khaliq atau pencipta selain Allah. Dalam erti kata lain, dia mengaitkan kejadian-kejadian baik dan buruk yang berlaku keatas dirinya terjadi disebabkan oleh masa – dan bukannya Allah.

3. Kategori ketiga: Dia mencela masa tetapi beriktikad bahawa Allah lah pelaku (iaitu yang menjadikan qada’ dan qadar – baik dan buruk berlaku disebabkan oleh Allah) tetapi dia tetap mencela masa kerana tidak reda perkara yang terjadi ke atasnya: maka hukumnya adalah Haram tetapi tidaklah dia kufur, kerana dia tidak mencela Allah secara langsung. Sebaliknya kalau dia mencela Allah secara langsung maka dia jatuh kufur.

[Al-Qaul al-Mufid]

Bagi orang Mukmin, setiap yang berlaku ke atasnya adalah baik. Maka setiap kejadian baik dan buruk dia pasti akan reda dan menyebut alhamdulillah. Selamat beramal..

Wallahu a’lam.

– Kalaam Jamiil

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.